Monday, 23 December 2013

Upacara penutup sukan Sea berlangsung meriah

Unknown | 03:32 |
                               

NAYPYITAW - Upacara penutupan Sukan SEA ke-27 di Myanmar dengan tema 'Hijau, Bersih dan Persahabatan' berlangsung meriah, dalam suasana warna warni di Stadium Utama Wunna Theikdi, di sini, malam ini.

Ketibaan Presiden Myanmar, U Thein Sein dan isteri, Daw Khin Khin Win dan dif-dif kehormat di stadium disambut dengan percikan bunga api.

Sekumpulan besar kanak-kanak yang membentuk formasi logo temasya sebelum bermulanya upacara penutupan memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Penonton yang hadir dihiburkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Myanmar seperti tarian gajah yang merupakan antara perayaan penting di negara berkenaan selain pertunjukan sukan tradisional negara tuan rumah 'Chinlone' seperti sepak raga bulatan.

Upacara berkenaan diteruskan dengan perarakan masuk atlet berdasarkan kepada 33 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya yang berlangsung selama 19 hari itu.

Acara-acara itu ialah renang, olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, snuker dan biliard, tinju, kenu, berbasikal, ekuestrian, bola sepak (termasuk futsal), golf, hoki, judo, karate, mendayung, sepak takraw (chinlone), perahu layar, menembak, ping pong, taekwondo, bola tampar, bina badan, catur, muay Thai, pencak silat, angkat berat dan petanque, vovinam, perlumbaan perahu tradisional, gusti dan kempo.    

Majlis diteruskan dengan acara menurunkan bendera rasmi temasya, bendera Persekutuan Sukan Asean (SGF) dan bendera Myanmar selaku tuan rumah.        

Majlis penutup temasya dwi tahunan itu disempurnakan oleh Naib Presiden Myanmar, U Nyan Tun.

Sebelas kontinjen yang bertanding pada edisi kali ini ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan Myanmar.

Ini merupakan kali ketiga Myanmar menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar yang melibatkan negara Asia Tenggara itu selepas 1961 dan 1969.

Kontinjen negara berjumlah 556 orang atlet yang menyertai 29 daripada 33 acara sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini berjaya mengatasi sasaran 40 emas selepas meraih 43 emas, 38 perak dan 77 gangsa dengan menduduki tempat kelima.

Thailand mengungguli temasya kali ini apabila meraih 107 pingat emas, 94 perak dan 81 gangsa manakala tuan rumah, Myanmar di tempat kedua dengan 85 emas, 62 perak dan 85 gangsa.

Vietnam di tempat ketiga dengan mengutip 73 emas, 86 perak dan 86 gangsa sementara Indonesia keempat dengan meraih 65 emas, 84 perak dan 110 gangsa.

Singapura akan menjadi tuan rumah pada edisi berikutnya pada 2015 sebelum Malaysia pada 2017. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Twitter Facebook Instagram

Search